Boleh saya tahu apa perbezaan cinta sebelum kahwin,selepas bertunang dan selepas kahwin? Mohon penjelasan!
Cinta Sebelum Kahwin
Cinta
sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian
dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa,
peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah
cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin
cinta yang dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan
harian.Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam,
kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan
kelalaian dalam percintaan.
Walau bagaimanapun, jika
percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta
itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang
beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara
perkara-perkara berikut:
Pertama :
Menghormati maruah dan
harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan diri
berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan. Di
samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan
kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih.
Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu
bapa yang mengawasi tingkah laku mereka.
Kedua :
Mendapat restu dan
kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum
perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan
pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta
itu. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak
melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama
semasa bercinta
Ketiga :
Berdoa dan menunaikan
solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati
Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada
kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah
tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.
Keempat :
Sentiasa melakukan solat
Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah
yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat.
Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya,
tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat
istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal
dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk
mendirikan rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa
niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka
ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah
itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.
Setiap perbuatan cinta
seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan dan
bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang
takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih
hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana
belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi
sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah,
perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri
itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku
apabila berada di khalayak ramai.
Cinta Selepas Bertunang
Kebanyakan orang yang
bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke
jinjang pelamin. Bertunang adalah cara yang dilakukan bagi
menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta
yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana
godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati
dan pendirian pasangan.
Orang yang bertunang
dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan
perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu
pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat
masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang
kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan
perkahwinan.
Bertunang tidak sama
dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan
oleh akad yang menghalalkan segala perhubungan antara lelaki dan
perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu
asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar
batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk
sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan sebagainya.
Pihak lelaki perlu
menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan
belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana
syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba
merosakkan cinta yang terbina.
Cinta Selepas Kahwin
Allah mengiktiraf cinta
selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan
dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21
surah ar-Rum:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakanNya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.
Cinta selepas
perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam.
Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu
mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan
diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan cinta
selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati
hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan
dan kasih sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu
adalah:
1.Membuktikan cinta
melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan
pasangan dan rumah tangga yang dibina. Pasangan suami isteri hendaklah
sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata,
sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah
dan janji yang dibuat.
2.Melahirkan zuriat
sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai
zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin
lain. Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat
baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak
berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.
3.Mengasihi dan
menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan
keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah
dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan
penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya
tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.
Menjaga batas-batas
pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa
berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan
pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Mereka
harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang
hak ke atas satu sama lain.
Sedikit sebanyak penjelasan. Semoga ianya bermanfaat untuk anda semua.
No comments:
Post a Comment