Friday 28 December 2012

Muslimah dan Riadah..

“Aik korang mandi sungai pakai tudung labuh?Macam mana nak mandi?”
   Begitulah kata-kata seorang teman sebilik sahabat saya apabila dia melihat gambar kami ketika beriadah di Gua Kelam,Perlis hampir dua tahun yang lepas.Merupakan satu kesilapan masyarakat sekarang apabila menganggap muslimah yang berpakaian menutup aurat tidak mampu untuk beriadah atau melakukan aktiviti rekreasi.Sedangkan Islam tidak pernah menghalang umatnya melakukan apa-apa pun selagi tidak becanggah dengan syariat agama.
   Alasan panas,susah bergerak dan tiada pilihan boleh dikatakan alasan lapuk yang dicanang oleh musuh Islam untuk diserapkan ke dalam minda remaja Islam khususnya supaya menggalakkan remaja Islam khususnya muslimah untuk tidak menutup aurat ketika beriadah.
  Bagi yang menyedari tuntutan untuk menutup aurat adalah wajib bagi semua umat Islam,perasaan panas,rimas dan tidak selesa seharusnya dipinggirkan jauh-jauh daripada diri.Islam amat menggalakkan umatnya beriadah untuk merebut kelebihan yang ada daripadanya.Selain dapat mencergaskan jasad,riadah juga mampu untuk mengeratkan silaturrahim antara muslimah.Di samping itu,kita disaran untuk mentadabur alam sepanjang proses riadah berjalan.Sesungguhnya Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 190 hingga 191 yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Pakaian yang menutup aurat tidak akan menghalang muslimah untuk beriadah dan bergerak bebas.Kini,banyak stokis-stokis yang menjual T-shirt labuh hingga ke lutut yang pastinya amat praktikal untuk beriadah.Selain itu,tudung yang dipakai tidak semestinya tudung bulat yang labuh,para muslimah juga boleh memakai tudung segi empat yang berbidang 60 dimana ia juga banyak dijual di pasaran.Tudung yang dipakai mestilah labuh menutup dada dan tidaklah kecil,jarang dan nipis kerana tudung yang kecil akan terangkat menampakkan susuk tubuh si pemakai apabila ia ditiup angin atau melakukan pergerakan yang lasak.Selain itu,tudung yang jarang dan nipis pula mempunyai mudharat yang sama,dimana aurat yang cuba ditutup masih dapat dilihat dengan mata kasar.
   Tujuan disarankan baju yang labuh hingga ke lutut kerana ia mampu untuk menutup bahagian punggung dan peha muslimah apabila bergerak dan menghalang bangkitnya syahwat dikalangan hati-hati yang ada penyakit didalamnya oleh golongan lelaki.Selain itu,sarung kaki yang panjang dan tidak jarang serta kasut yang sesuai untuk beriadah juga perlu dalam memastikan keselesaan sepanjang riadah.
   Islam itu syumul (sempurna),setiap saranan daripada Allah pasti sesuai dipakai oleh setiap golongan dan setiap masa.Syariat yang ditetapkan lengkap,tiada cacat dan celanya.
   Baju yang menutup aurat juga tidak mencukupi.Para muslimah perlulah menjaga akhlak sepanjang riadah.Selain itu tempat riadah yang agak tersorok daripada pandangan orang ramai,terutamanya lelaki amat penting bagi mengelak segala aktiviti riadah menjadi tontonan.Disamping itu,pandangan mata juga harus dijaga sepanjang proses riadah berjalan.
  Para muslimah yang disayangi,menjalankan perintah Allah kadang-kadang terasa berat tetapi ingatlah balasan yang Allah nak bagi sesuai juga dengan keperitan kita menghadapi cemuhan masyarakat.Ketepikan semua pandangan manusia.Biarlah hina dipandangan mereka asal tidak hina dipandangan Allah.

diambil dari blog sahabat...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...