Friday 13 April 2012

Fikir-fikirkan lah...







Kawan @ Sahabat

Assalamualaikum...kartun kali ni bertajuk..Kawan@ Sahabat.. Teringat sebuah nasyid yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid Hijjaz yang bertajuk, Kawan.. Sama-samalah kita renungi makna tersirat disebalik lirik lagu ini. KAWAN Kawan apalah yang kau kesalkan, kerna Tuhan kau kehilangan kawan, kerna kebenaran dihina, jangan kau ragu dalam keimanan.. kadang-kadang, kawan jadi lawan, kadang-kadang lawan jadi lawan, apalah disedihkan hati, setiap insan didalam kekurangan. jangan sedih selalu terlalu tersisih, bukan kau saja ditimpa malang, ingatlah para rasul mulia, lebih tersiksa menderita.. mereka bahagia, dalam derita, mereka kaya didalam papa.. mereka memadai dengan Tuhannya, itulah kebahagiaan, diwaktu sempit seorang diri, kawan janganlah disedihkan hatimu.. jangan sedih selalu tersisih, bukan kau saja ditimpa malang, ingatlah, para rasul mulia, lebih tersiksa menderita.. tetapi mereka merasai ramai, walaupun keseorangan.. kawan, apalah yang kau kesalkan, kerna Tuhan kau kehilangan kawan, kerna kebenaran dihina, jangan kau ragu dalam keimanan, kadang-kadang, kawan jadi lawan, kadang-kadang , lawan jadi kawan, apalah disedihkan hati, setiap insan didalam kekurangan..

Sunday 8 April 2012

Batas pergaulan dan gurauan dalam Islam







SELAIN mengumpat, satu daripada bencana yang dilakukan oleh lidah manusia ialah gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, melawak, olok-olok dan berjenaka.

Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan sebagai ‘al-mizah’. Beliau membawa hadis Rasulullah yang bermaksud: “Jangan engkau bantahi saudaramu dan jangan engkau perguraukan dia.” – (Hidayatus Salikin: 170).

Menurut Imam al-Ghazali, bergurau itu ditegah syarak kerana ia membawa kepada banyak tertawa. Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh ‘menanggalkan’ hati.

Paling dahsyat, menurut beliau, ia boleh membawa atau mendorong kepada perbuatan derhaka. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakannya tertawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun.”

Imam Ghazali menasihatkan supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata untuk menimbulkan gelak ketawa.

Kata-kata gurau senda sebenarnya boleh menghilangkan malu seseorang. Ini kerana dalam mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak munasabah. Untuk mereka-reka bahan lucu, mereka membuat cerita yang ganjil dan tidak masuk akal dan kebanyakannya cerita dusta.
Inilah puncanya orang yang membuat kelakar boleh hilang malu. Pada hakikatnya malu senjata orang beriman. Malu adalah alamat atau tanda orang yang beriman.

Yang paling mengaibkan, sebahagian daripada kita suka membawa cerita lucah atau separuh lucah dalam perkataan semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Malu adalah cabang daripada iman.” Dalam sabda lain, baginda menyatakan: “Malu dan iman seganding. Apabila terangkat salah satu daripadanya maka terangkatlah kedua-duanya.”

Dapat difahami daripada hadis ini, jika seseorang itu hilang perasaan malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya.

Namun begitu, bergurau ala kadar dibolehkan. Pada suatu masa orang Arab menganggap pantang makan kurma kalau sakit mata.

Rasulullah nampak seorang bernama Suhaib yang sakit mata sedang makan kurma maka baginda bersabda bermaksud: “Engkau makan kurma sedangkan engkau sakit mata?”. Suhaib faham maksud Rasulullah yang ingin bergurau dengannya. Maka jawabnya: “Saya makan dengan mata yang sebelah lagi ya Rasulullah.”

Mendengar jawapan itu, baginda senyum lebar hingga nampak giginya yang putih. – (Ihya Ulumuddin Imam al-Ghazali).

Dalam hubungan pergaulan harian, gurauan itu boleh menimbulkan sakit hati dan menyinggung perasaan sesama kawan atau rakan.

Bagi sesetengah orang yang tidak tahan bergurau mungkin menimbulkan persenketaan atau perkelahian. Maka ini bertentangan dengan kehendak Islam. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang beriman itu adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan antara kedua-duanya.”– (al-Hujurat: 11).

Justeru, elakkanlah bergurau, bersenda melampaui batas perasaan atau pemikiran rasional supaya ukhuwah sesama kita tetap terpelihara. 

Wednesday 4 April 2012

Mengapa Masyarakat Islam Tidak Dilihat Indah?





Islam adalah agama akidah, agama ibadah, akhlak dan peraturan
serta undang-undang hidup di dalam semua aspek kehidupan sama ada dari persoalan kekeluargaan, masyarakat, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, perhubungan, kenegaraan, ketenteraan hinggalah alam sejagat.

Jika sekiranya Islam itu dapat difahami, dihayati dan diamalkan
keseluruhannya, akan dapat dilihat bahawa penganut-penganutnya
adalah manusia yang berakidah, beribadah, berakhlak, berdisiplin, cergas, aktif dan berhubung antara satu sama lain. Dari sini lahirlah manusia yang berukhwah, berpadu, maju, aman damai, bahagia dan harmoni.

Akan tetapi pada hari ini kita lihat umat Islam dan masyarakat umum amat kusut sekali, haru-biru, huru-hara, kelamkabut, tidak berakhlak dan tidak berdisiplin. Umat Islam tidak sehaluan, tidak sependapat dan tidak satu fikiran. Masing-masing ada tujuan-tujuan yang tersendiri, tidak seia-sekata dan tidak serentak menuju satu matlamat yang menjadi cita-cita
Islam. Bersimpang-siur antara satu sama lain. Tidak di satu barisan yang tersusun rapi seperti satu bangunan yang tersusun dan indah. Mereka bercelaru, satu ke hulu, satu ke hilir. Satu ke darat, satu ke baruh. Satu ke lurah, satu ke bukit. Satu ke timur dan satu ke barat. Akhirnya accident dan berembuk sesama sendiri. Akhirnya umat Islam yang rugi.

Ada yang kaya berfoya-foya, sombong, membuang masa dan
melakukan pembaziran. Hidup sendiri-sendiri. Ada yang miskin tidak sabar. Merungut sana, merungut sini. Mengeluh di sana, mengeluh di sini. Mereka kelihatan resah gelisah.

Yang berilmu hanya memikirkan diri. Dia mencari harta dengan ilmunya. Dia bergaul dengan masyarakat hanya di majlis-majlis rasmi. Hidup juga bersendirian.

Pemuda-pemudinya hidup tidak tentu hala dan tidak tahu
matlamat. Berkumpul membuang masa, bohsia, bohjan, melepak-lepak, sakit mata melihatnya.
Para pemerintah dan penguasa menggertak-gertak, membentak-bentak, mengugut-ugut dan menakut-nakutkan seolah-olah tenggelam punca. Tidak tahu bagaimana hendak mendidik rakyatnya.

Di dalam keluarga, masing-masing hendak lari keluar. Terutamanya
anak-anak. Mereka gelisah sahaja. Panas punggung duduk di rumah kerana di rumah tiada ketenangan dan tiada kebahagiaan.

Begitulah gambaran masyarakat Islam di seluruh dunia. Begitu kusut dan menyakitkan mata memandang. Kalau kita hendak membuat perbandingan, sepertilah kain buruk yang luntur warnanya, berculang-caling, bertompok-tompok, ada hitam, ada kelabu, ada merah, ada biru, ada kuning dan lain-lain warna kerana ditimpa berbagai-bagai hal. Keadaannya begitu
comot sekali. Sakit mata memandang dan perasaan hati
terasa jijik.

Atau dengan gambaran yang lain sebagai perbandingan, macam kita melihat di satu lembah yang busuk, becak, berlumpur, penuh sampah sarap yang berbagai-bagai warnanya. Baunya busuk, sangat jelik dilihat. Hati liar dibuatnya. Begitulah gambaran masyarakat umat Islam di seluruh dunia.
Mengapa terjadi demikian? Mengapa gambaran masyarakat Islam begitu buruk? Mengapa Islam itu begitu cantik tetapi penganutnya tidak cantik? Mengapa Islam itu indah sedangkan penganut-penganutnya sudah tidak indah lagi?

Terjadinya yang demikian itu adalah dari sebab-sebab seperti
berikut:

1. Sesetengah umat Islam di seluruh dunia, Islamnya tinggal akidah semata-mata. Ibadah sudah tidak dibuat lagi. Apatah lagi perkara-perkara selain ibadah, lebih-lebih lagi tidak mencerminkan ajaran Islam. Hiduplah cara mana mahu hidup. Buatlah apa yang terasa. Ikutlah siapa yang hendak diikut. Kadang-kadang dia pun tidak tahu apakah dia seorang muslim atau tidak. Cuma dia dengar-dengar bahawa dia adalah keturunan umat Islam. Maka dia pun mengaku orang Islam. Apa itu Islam, dia tidak tahu. Golongan ini masih ramai.

2. Ada segolongan umat Islam, agamanya hanya setakat akidah dan ibadah sahaja. Itu pun ibadahnya tidak mengikut ilmu yang tepat dan beribadah pun tidak konsisten. Kadang-kadang buat, kadang-kadang tidak. Rasa hendak buat, dia beribadah. Rasa tidak mahu, berhenti dahulu. Atau waktu
terpaksa beribadah. Contohnya kerana ada majlis rasmi di masjid, kenalah bersembahyang. Selepas itu rehat pula. Kemudian apabila terasa hendak beribadah, buat pula. Di aspek-aspek yang lain, jangan cerita. Dia buatlah apa sahaja yang dia mahu. Ia tidak ada kena-mengena lagi dengan
Islam. Islam memang tidak ada hubung kait lagi dengan persoalan kehidupan. Golongan ini juga ramai.

3. Ada golongan pula di kalangan umat Islam, dia berakidah dan ibadahnya tetap dibuat, tidak pernah tinggal. Bagaimana pun, di sudut-sudut lain dia tidak ambil kira sangat, seperti di aspek makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan tempat kerja. Hal-hal itu, ikut Islamkah atau tidak, dia tidak
ambil pusing sangat. Jatuh kepada haram atau halal, dia tidak ambil kira. Akhlak juga tidak dijaga. Kalaupun ada yang sesuai dengan ajaran Islam bukan pula dirancang tapi hanya secara kebetulan sahaja. Kerana yang dia jaga sangat ialah akidah dan ibadah sahaja. Yang lain tidak dijaga.
Golongan ini agak ramai.

4. Satu golongan lagi, akidahnya bagus, ibadahnya juga agak bagus. Memang dia jaga. Makan, minum, pakaian, tempat tinggal dijaga jangan sampai melanggar ajaran Islam. Begitu pun di sudut-sudut lain pula terabai. Dia tidak ambil kira sangat. Seperti tidak ambil kira tempat bekerja walaupun melanggar perintah Islam seperti pergaulan bebas lelaki dan
perempuan. Begitu juga akhlaknya tidak dijaga. Boleh sahaja mengumpat, mengata, menghina, hasad, pemarah, sombong, riyak, tamak, bakhil, memfitnah, mengadu domba dan lain-lain lagi. Golongan ini juga agak ramai.

5. Ada golongan yang akidahnya dijaga, ibadah tidak dicuaikandan akhlak boleh tahan dengan orang luar tetapi dengan anak isteri cuai. Di dalam keluarga tidak ada pendidikan formal atau tidak formal. Dengan anak isteri boleh buat lebih kurang, tidak ada perbincangan, tidak ada usrah, tidak ada
pengajian dan tidak ada mesyuarat sesama ahli keluarga.Dengan anak isteri marah-marah sahaja. Didikannya hanya setakat: kalau anak isteri buat salah, dia marah-marah. Dia anggap itulah didikan. Padahal itu adalah hukuman, bukan didikan. Suasana Islam tidak ada di dalam rumah tangga
dan hubungan renggang di antara keluarga. Padahal Islam itu selain bermula dari diri, ia juga bermula dari rumah tangga. Golongan ini juga agak ramai dan keadaan ini berlaku merata.

6. Ada golongan yang sangat menghayati Islam. Akidahnya dijaga, ibadahnya istiqamah dan bersungguh-sungguh. Halal haram di dalam semua hal sangat diambil berat. Akhlaknya dengan Tuhan atau dengan manusia sentiasa diambil berat. Kalau dia melakukan kesalahan atau tertinggal
amalan yang pernah dibuat walaupun sunat, dia sangat menyesal dan dia akan tampung dengan kebaikan. Dia akan tampung dengan sembahyang sunat, sedekah, denganmenolong orang dan lain-lain. Dengan anak isteri berjalan syariat Islam, sembahyang berjemaah bersama, ada program
membaca Al Quran, ada jadual kuliah dan perbincangan. Ibu dan ayah menjadi suri teladan, berkasih sayang sesama keluarga, bekerjasama di antara satu sama lain. Golongan ini sudah tidak ramai lagi. Mereka ini sudah dianggap orang ganjil dan pelik oleh masyarakat.

7. Golongan ini selain bersikap seperti golongan yang keenam, mereka sibuk memperjuangkan Islam. Islam itu diperjuangkan melalui ceramah-ceramah, nasihat-nasihat, tulisan-tulisan,membuat kebaikan di tengah masyarakat seperti selalu bersedekah, sering menolong orang susah dengan
berbagai-bagai cara, suka berkhidmat dengan masyarakat dan pantang mendengar orang susah, mesti ditolongnya.Dia menyedarkan masyarakat kepada Islam secara bilhalatau secara sikap, agar orang ramai faham bahawa begitulah caranya Islam itu. Golongan ini lebih-lebih lagi terlalu
sedikit. Macam antah dalam beras atau macam mencari
gagak putih.

Kalau secara rambang atau secara umum umat Islam seluruh dunia telah terbahagi kepada tujuh golongan. Itu belum kita perinci dan detailkan lagi. Bagaimanalah umat Islam hendak berkasih sayang? Bagaimanakah boleh bersatu padu? Senangkah hendak bertolong bantu? Mudahkah hendak seia-sekata? Mudahkah hendak berjuang di dalam satu barisan yang tersusun,
menuju satu haluan?

Kalau umat Islam seluruh dunia ini, sudah tidak sama dan tidak seirama dalam memahami, menghayati, mengamalkan dan memperjuangkan Islam, bolehkah umat Islam menjadi kuat dan berdaulat? Bolehkah lahir satu umat yang berakhlak dan berwibawa hingga dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia?

Kalau kehidupan umat Islam sudah begitu kusut seperti yang telah kita paparkan sebelum ini, dari manakah kita hendak bermula untuk memulihkannya semula? Bermula dari duit? Bermuladari hiburan? Bermula dari politik? Bermula dari ilmu?

Berjuang memulihkan semula masyarakat Islam yang begitu haru-biru itu mesti bermula daripada iman dan ilmu. Iman dan ilmu mesti dari didikan. Dari didikan baru datang penghayatan.Dari penghayatan baru datang cinta kepada Allah, Rasul danagama-Nya, atau baru datang takut kepada Allah Taala. Dari takut itu mereka melaksanakan. Dari melaksanakan, lahirlah
bangsa yang bertaqwa. Setelah bertaqwa barulah datang bantuan dan pembelaan dari Allah Taala. Setelah Allah Taala bela, barulah datang kekuatan, kedaulatan dan seterusnya kejayaan yang
diredhai-Nya.

Begitu pun, hendak melahirkan proses itu atau metodologi untuk ditempuh hingga sampai ke matlamatnya, mesti ada figure atau pemimpin yang beriman, berilmu, bertaqwa, berakhlak mulia, yang dihormati dan disegani, disayangi dan dipatuhi.

Kalau nilai peribadi pemimpin itu sama dengan nilai peribadi rakyat umum atau lebih rendah lagi, siapakah yang boleh terima? Siapakah yang boleh hormat? Siapakah yang akansayangi? Siapakah yang akan patuhi?

Kita semua boleh memberi jawapan. Sudah tentu perjuangan umat Islam tidak sampai ke mana. Kalau hendak memperjuangkan di satu aspek sahaja seperti membangun dan maju sahaja, mungkin boleh. Bagaimana pula di aspek iman, taqwa, akhlak, ketaatan dan kasih sayang?
Cukupkah dengan maju sahaja? Orang Barat sudah maju tetapi apa telah jadi kepada masyarakat mereka? Kita semua tahu keadaannya. Tidak perlulah saya sebutkan lagi. Apakah umat Islam mahu mengejar kemajuan sahaja seperti orang Barat lakukan. Masing-masing kita jawablah sendiri.



Tuesday 3 April 2012

Wajib Berdakwah Walaupun Diri Belum Sempurna



Ramai orang mengetahui bahawa tugas berdakwah adalah wajib ke atas setiap individu. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah disebabkan oleh beberapa kekeliruan. Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran kerana merasakan
amalannya belum cukup mantap dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.

Berhubung dengan isu ini, Imam Said bin Jubair berkata: “Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak
kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.” Iman Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau menambah: “Dan siapakah antara kita yang lengkap dan sempurna?”

Sebahagian umat Islam tidak mahu berdakwah kerana merasakan dirinya
belum mengamalkan segala ilmu yang sudah diketahui. Mereka juga khuatir tidak dapat melaksanakan perkara yang diseru. Berhubung dengan ini, Imam al-Hasan berkata: “Siapakah antara kita yang telah melaksanakan segala yang
diserukannya? Syaitan amat menyukai jika manusia terpedaya dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.”

Secara dasar, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap individu yang mukalaf dan berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Hakikatnya, Islam mengakui tahap kemampuan setiap individu adalah berbeza. Justeru nabi bersabda: “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah clicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan
hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Berhubung dengan mencegah kemungkaran, kadar minimum yang dituntut adalah mengingkarinya dengan hati. Di dalam kitab Dalil al-Falihin disebutkan: “Mencegah kemungkaran dengan hati bermaksud membencinya dengan hati disertai
dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan apabila dia mampu. Membenci maksiat dengan hati hukumnya adalah wajib ke atas setiap
individu dan sesiapa yang menyetujui suatu kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya.”

Iman memerlukan bukti dan salah satu buktinya adalah membenci maksiat. Tanpanya, iman akan berkecai dalam hati seseorang. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi berhubung dengan perkara ini yang bermaksud:
“(Jika hati seseorang tidak membenci kemungkaran), tidak ada selepas itu iman walaupun sebesar biji sawi.”

Hati yang tidak membenci kemungkaran akan binasa. Sahabat nabi bernama Abdullah ibn Mas’ud pernah menegaskan: “Binasalah mereka yang tidak dapat membezakan yang makruf dan yang mungkar dengan hatinya.”

Secara dasar, pengabaian dalam melaksanakan amar makruf dan nahi
mungkar mengundang azab dan seksaan daripada Allah. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Anfal ayat 25 Allah berfirman:

“Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa ke atas mereka yang zalim dan kalangan kamu sahaja. Dan ketahuilah Allah maha keras seksaannya.”

Ayat ini menjelaskan, apabila azab menimpa disebabkan kemungkaran yang
berleluasa, ia tidak hanya menimpa ke atas mereka yang melakukan maksiat, ia juga menimpa ke atas mereka yang salih yang mengabaikan dakwah.

Ayat ini disokong oleh beberapa hadis nabi yang antaranya diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud:

“Zainab binti Jahsy bertanya kepada nabi, ‘adakah kita akan dimusnahkan sedangkan golongan yang soleh masih ada di kalangan kita?’ Nabi menjawab,‘ya, apabila kekejian berleluasa.”

Dalam riwayat lain oleh Imam Tarmizi, nabi bersabda:

“Apabila manusia melihat kezaliman dilakukan oleh seorang yang zalim
dan mereka tidak mencegahnya, tidak berapa lama lagi azab daripada Allah akan menimpa ke atas mereka semua.”

Imam Bukhari pula meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud:

“Perumpamaan mereka yang memelihara batas-batas agama Allah dengan golongan yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapal yang dipenuhi penumpang pada bahagian atas dan bawahnya. Golongan yang berada pada bahagian bawah,
apabila ingin mengambil air terpaksa menaiki bahagian atas kapal bagi mendapatkannya. Akhirnya penumpang pada bahagian bawah berkata, ‘alangkah baiknya jika kita tebuk saja lantai kapal ini untuk mendapatkan air dan
dengan cara demikian kita tidak lagi menyusahkan rakan-rakan kita pada bahagian atas.’ Jika penumpang-penumpang pada bahagian atas tidak mencegah perbuatan akan-rakan mereka di bawah, mereka semua akan tenggelam. Jika mereka mencegah, kesemua mereka akan selamat.”

Persiapan Pendakwah Ilmu adalah asas bagi segala kebaikan. Ilmu-ilmu teras fardu ain wajib pelajari oleh setiap individu yang hendak berdakwah dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu-ilmu kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk
itu kerja-kerja tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Di dalam surah
al-Mukminun ayat 3 Allah berfinnan:

“Antara sifat-sifat mukmin yang berjaya adalah mereka menjauhi
perbuatan dan perkataan yang lagha.”

Istilah lagha mempunyai maksud tertentu. Imam Ibn Kathir mentafsirkannya sebagai, “segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik,
perbuatan maksiat, serta segala perkara yang tidak berfaedah sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan.”

Membuang masa pada perkara tidak berfaedah menjadi salah satu punca
kejatuhan umat Islam sebelum ini. Hal ini disebut oleh as-Syeikh Hasan an-Nadwi di dalam bukunya “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam”. Beliau berkata: “Tetapi sayang sekali, kaum Muslimin tidak mensyukuri
nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah berhubung perkara yang tidak bermanfaat. Andai kata mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan
kaum Muslimin, kedudukan mereka tidak akan menjadi separah ini. Umat Islam bukan saja asyik membahaskan tentang sifat-sifat Allah, mereka juga asyik berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini
memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit... Hasil penemuan kaum
Muslimin sama ada dari sudut kuantiti ataupun kulitinya tidak mendatangkan apa-apa makna apabila dibandingkan dengan penemuan Barat pada abad ketujuh belas dan kelapan belas Masihi.” Apabila umat menyibukkan diri dengan perkara yang tidak berfaedah, kewajipan penting terabai dan keutamaan terbabas. Hasilnya
adalah kejahilan dan kemunduran. Justeru, sudah sampai masanya bagi
umat Islam memfokuskan pada ilmu-ilmu penting demi masa depan umat yang gilang-gemilang.

Di dalam al-Quran terdapat beberapa gelaran yang diberikan Allah kepada golongan berilmu sebagai lambang kemuliaan. Antara gelaran itu adalah rabbani. Berhubung dengan ini, Allah berfirman dalam surah ali-Imran
ayat 79:

“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya al-Kitab, hikmat dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: ‘Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan menyembah Allah’. Akan tetapi (dia
berkata): ‘Hendaklah kamu menjadi golongan rabbani kerana kamu selalu mengajar al-Kitab dan disebabkan kamu terus mempelajarinya’ .”

Berhubung dengan ayat ini, Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata:
“Ayat ini merupakan dalil bahawa golongan rabbani adalah golongan yang amat mentaati Allah dengan cara menguasai ilmu dan menyebarkannya. Cukuplah dalil
ini sebagai bukti kehebatan mereka yang mampu mengekang nafsunya bagi
menguasai ilmu kemudian disusuli dengan amal.”

Ilmu yang dituntut dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Di dalam kitab lhya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu fardu ain sebagai ilmu yang wajib dituntut oleh setiap
hamba Allah yang berakal lagi baligh tanpa pengecualian. Ilmu fardu ain yang wajib dituntut adalah yang berkaitan dengan akidah atau tauhid bertujuan
memantapkan iman, tasawuf bagi membersihkan hati serta akhlak dan fikah bagi mengetahui perkara yang diwajibkan dan diharamkan. Ilmu fardu kifayah adalah Ilmu yang wajib dikuasai umat Islam dalam bidang-bidang yang amat diperlukan
masyarakat. Namun, tidak semua individu Muslim dan Muslimah perlu
menceburi dalam bidang-bidang ini apabila sebahagian daripada umat Islam sudah menguasainya, masyarakat secara amnya terlepas daripada dosa dan bebanan.

Islam juga menuntut umatnya mempersiapkan diri dengan segala teknologi yang perlu bagi menghadapi musuh dan persiapan ini termasuk dalam tuntutan fardu
kifayah yang disebutkan sebelum ini. Allah berfirman dalam surah
al-Anfal ayat 60:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa saja kekuatan yang kamu sanggup dan dan kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh.”

Umat Islam terdahulu benar-benar memahami dan menghayati ayat ini.
Contohnya, pada zaman khalifah Uthman, pada tahun 28 H bersarnaan
dengan 648 M, khalifah mengeluarkan arahan kepada Muawiyah supaya memberikan tumpuan
pada kekuatan laut yang ketika itu dikuasai oleh Rom. Bermula dari
tahun itu, pakar-pakar dan tenaga mahir Islam dihimpunkan sehingga berjaya membina sebuah armada yang kuat. Pada saat kemuncaknya pada tahun 31 H (652 M), armada Islam mempunyai 1,700 buah kapal dan bermula dari tahun itu panglima
armada Islam digelar sebagai Amirul Bahri dan daripada gelaran inilah lahiriya kalimat Admiral kemudiannya. Kekuatan armada Rom menjadi lumpuh selepas armada Islam mengalahkannya dalam peperangan Mount Phoenix pada tahun 652 M.

Di samping itu, Islam juga menuntut umatnya mengenali jahiliah pada zaman mereka supaya tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengannya. Khalifah
Omar al-Khattab mengingatkan umat Islam berhubung dengan perkara ini melalui ucapan beliau yang bermaksud:

“Sesungguhnya ikatan Islam akan terungkai satu demi satu dari diri
seseorang jika dia tidak mengenali jahiliah.”

Manifestasi jahiliah pada hari ini wujud dalam setiap bidang kehidupan manusia termasuk dalam adat resam dan budaya bangsa Melayu. Sebahagian daripada adat resam dan budaya yang diamalkan pada hari ini mengandungi khurafat dan tahayul. Khurafat dan tahayul adalah kepercayaan yang tidak
bersandankan al-Quran dan Sunnah serta tidak dapat diterima akal yang waras. Ia adalah sebahagian daripada kepercayaan yang mungkar lagi sesat. Kepercayaan ini menjadi pegangan segelintir umat Islam kesan daripada pengaruh budaya yang dibawa oleh penganut ajaran agama lain. Antara bentuk
khurafat dan tahayul yang dipegang adalah percaya kepada konsep sial
majal seperti sialnya bunyi burung hantu pada waktu siang, sialnya nombor 13 dan seumpamanya.

Di samping ilmu, pendakwah juga tidak boleh memperkecilkan keikhlasan, ibadah dan akhlak mulia kerana tanpanya dakwah akan gagal. Di dalam buku Alaamat Duiyyah Ala Thariq ad-Dakwah, Dr. Muhammad Jamil Ghazi menukilkan
perkataan Imam Sufyan at-Thauri berhubung dengan perkara ini yang
bermaksud:
“Janganlah seseorang mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran melainkan jika ada padanya tiga ciri: 1. Berlemah lembut dengan apa yang diseru dan dicegah. 2. Adil dengan apa yang diseru dan dicegah. 3. Berilmu
berhubung apa yang diseru dan dicegah.”

Perkara yang sama juga ditekankan oleh Imam Abul Laith As-Samarqandi di dalam kitab Tanbihul Ghafilin. Beliau membahagikan persiapan umum
pendakwah kepada lima: “1: Ilmu. 2: Keikhlasan. 3: Kasih sayang dan kelembutan. 4: Kesabaran. 5: Mengamalkan apa yang disampaikan.”

Pendakwah yang asyik mengutuk dan mencanangkan kesalahan orang lain dan melupakan diri sendiri merupakan pendakwah yang terbabas danipada obor al-Quran dan Sunnah. Benarlah As-Syeikh Fathi Yakan semasa beliau berkata di dalam bukunya yang bertajuk Musykilat ad-Dakwah Wa ad-Daaiyah yang bermaksud:

“Seseorang pendakwah akan berada di dalam keadaan baik jika dia bersih dari keaiban dan penyakit diri sendiri walaupun musuhnya mempunyai kekuatan yang hebat.”


Sebenarnya, kenyataan seumpama ini pernah diucapkan oleh khalifah Omar al-Khattab suatu masa dahulu semasa beliau menyampaikan amanat kepada tentera-tentera Islam. Beliau berkata:

“Hendaklah kamu berwaspada terhadap perbuatan-perbuatan maksiat daripada kewaspadaan terhadap musuh. Sesungguhnya aku lebih bimbang dengan dosa yang
dilakukan oleh tentera-tentera Islam berbanding kebimbanganku terhadap musuh. Sesungguhnya umat Islam mendapat pertolongan daripada Allah lantaran kemungkaran yang dilakukan oleh pihak musuh.... Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara yang dimurkai Allah ketika sedang berjihad di jalan Allah.”

Hukum Berdakwah

Rasul-rasul tidak diamanahkan melainkan dengan tugas-tugas mulia
dan Allah mengamanahkan mereka supaya melaksanakan dakwah. Di dalam surah an-Nahl ayat 36, Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami utus bagi setiap umat seorang Rasul yang menyeru, ‘sembahlah Allah dan jauhilah taghut’.”

Sesiapa yang melaksanakan tugas dakwah mendapat pujian daripada Allah berdasarkan firman-Nya dalam surah Fussilat ayat 33, yang bermaksud:

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah, serta beramal salih seraya berkata, ‘aku adalah dari kalangan orang-orang Muslim’.” Berhubung dengan ayat ini as-Syeikh Said Hawa di dalam al-Asas fit Tafsir berkata: “Termasuk di dalam golongan ini adalah semua penyeru dan pendakwah di jalan Allah... Dan mengikut Imam Ibn Kathir,
orang yang tidak mengerjakan yang makruf tidak termasuk dalam golongan yang mengajak kepada yang makruf dan juga tidak termasuk dalam golongan mereka yang mencegah kemungkaran mereka yang melakukan kemungkaran.”

Oleh kerana dakwah adalah tugas yang mulia lagi penting, Allah
mengarahkan umat Islam melaksanakannya. Berhubung dengan ini, dalam surah ali-Imran ayat
110, Allah berfirman:

“Kamu adalah sebaikbaik umat yang dikeluarkan bagi manusia, kamu
mengajak kepada makruf dan kamu mencegah kemungkaran.”

Di dalam kitab Usul ad-Dakwah, Dr. Abdul Karim Zaidan berpendapat ayat ini mempunyai dua penekanan. Pertama, Allah menjelaskan kebaikan umat ini dan kedua, kebaikan umat ini berkait rapat dengan pelaksanaan amar makruf
dan nahi mungkar. Berkaitan dengan ayat yang sama di dalam kitab Dalilul Falihin disebutkan: “Barang siapa menepati sifat-sifat yang disebutkan dalam
ayat ini, dia tergolong dalam golongan umat terbaik.”

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf serta nahi mungkar. Makruf bermaksud perkara yang baik mengikut pandangan syarak dan akal, manakala mungkar bermaksud perkara yang berlawanan dengan segala yang
makruf sebagai contoh, meninggalkan amalan fardu ataupun melakukan perbuatan haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun dosa besar.

Salah satu golongan yang mendapat kutukan daripada Allah kerana gagal melaksanakan dakwah adalah golongan Bani Israel. Dalam surah al-Maidah ayat 78 dan 79, Allah berfirman:

“Telah dilaknat golongan kafir dan kalangan Bani Israel dengan lisan
Daud dan Isa putera Maryam. Hal ini disebabkan mereka menderhaka kepada Allah dan selalu melampaui batas. Mereka tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di
kalangan mereka. Sesungguhnya buruk sekali apa yang telah mereka
lakukan.”

Berhubung dengan ayat ini nabi bersabda:

“Sesungguhnya kecacatan paling awal yang menimpa ke atas Bani Israel ialah, apabila seseorang lelaki bertemu dengan lelaki yang lain (yang melakukan kemungkaran) dia akan berkata, ‘wahai pulan, tinggalkanlah apa yang sedang
kamu lakukan kerana ianya tidak halal bagimu’. Kemudian pada keesokan harinya dia tidak lagi mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh rakannya, sebaliknya dia reda untuk duduk sambil makan dan minum dengan rakannya itu. Apabila hal ini berlaku, Allah bolak-balikkan hati-hati mereka. (Kemudian Nabi pun membaca ayat-ayat dan surah al-Maidah mi).” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Abu Daud.

Secara dasarnya, hukum berdakwah dengan lisan dan tangan adalah wajib kecuali dalam situasi tertentu. Di dalam kitab Dalilul Falihin disebutkan:
“Apabila dikhuatiri harta benda dan diri seseorang akan ditimpa
kebinasaan, harus bagi seseorang itu sekadar melawan dengan hatinya sahaja. Jika kekhuatiran ini tidak wujud, dia diwajibkan berdakwah, walaupun dia belum mengamalkan apa yang diserukannya ataupun dia menyedari seruannya tidak akan
diterima.”

Sehubungan dengan ini, Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin
menyenaraikan empat keadaan yang mungkin ditempuhi pendakwah.

1. Tidak wajib berdakwah
Pendakwah menyedari dakwahnya tidak akan mendatangkan sebarang manfaat dan berkemungkinan dia akan dipukul, dicederakan atau dibunuh. Dalam suasana seperti ini, tidak wajib baginya melaksanakan dakwah.

2. Wajib berdakwah Pendakwah menyedari dakwahnya boleh menyebabkan kemungkaran tercegah
dan tidak ada sesiapa pun yang berani melakukan sebarang tindak balas ke atasnya. Dalam suasana seperti ini, dia wajib melaksanakan dakwah.

3. Sunat berdakwah 1 Pendakwah menyedari dakwahnya tidak akan mendatangkan sebarang kesan positif dan dia sanggup memikul sebarang risiko yang mungkin menimpa ke atas dirinya. Dalam situasi seperti ini, dia disunatkan menyampaikan dakwah
tetapi tidak diwajibkan ke atasnya.

4. Sunat berdakwah 2 Pendakwah menyedari dakwahnya akan memudaratkan dirinya tetapi jika
dilakukan juga ia dapat mencegah kebatilan yang sedang berlaku. Dalam keadaan seperti ini, dakwah disunatkan ke atasnya.

Dalam memperincikan perkara ini, as-Syeikh Said Hawa di dalam Jundullah Jihad Fi Sabilillah berkata: “Contoh-contoh keadaan bahaya atau mudarat yang dikira sebagai alasan yang sah untuk tidak melaksanakan amar makruf dan
nahi mungkar ialah dipukul dengan teruk, dimusnahkan rumah dan tempat tinggalnya, diambil segala harta bendanya dan yang seumpamanya. Jika kemudaratan
yang akan menimpanya hanyalah dalam bentuk dihina, caci, maki, kutuk, perli, sindir dan sebagainya, kewajipan berdakwah tetap dibebankan ke atasnya
kerana Allah mengarahkan agar kita bersabar ketika melaksanakan
kerja-kerja dakwah.”

Bagi individu yang sanggup menanggung sebarang risiko, syariat Islam mengizinkannya melaksanakan dakwah walaupun dia mungkin dibunuh. Walau bagaimanapun, kesanggupannya untuk berkorban perlu juga diimbangi
dengan hasil yang bakal diperolehi supaya pengorbanannya tidak dilakukan secara semberono yang bakal merugikan perjuangan. Ibn Abidin di dalam Hasyiahnya
menjelaskan:

“Disebutkan dalam kitab Sharh al-Siyar diizinkan seseorang mencegah
bidaah dan kemungkaran walaupun besar kemungkinan dia akan dibunuh, dicederakan ataupun dikalahkan kerana ada di kalangan sahabat nabi yang melakukannya
pada zaman Rasulullah dan baginda memuji mereka. Walau bagaimanapun,
apabila individu itu mengetahui dia tidak akan dapat mengalahkan musuhnya dan penentangan yang akan dilakukannya tidak akan mendatangkan sebarang kemuliaan bagi agama, dia tidak diizinkan melakukan pencegahan itu secara
individu.”

Dalam berdakwah, setiap pendakwah perlu mengetahui isu-isu semasa bagi menangkis keraguan-keraguan yang timbul

sumber : abuhandzalah weblog





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...