Sebak!
Itu kenyataan paling nyata yang boleh
terungkap melihat muda mudi harapan bangsa dan agama tanpa malu dan
segan silu mengenakan pakaian yang tidak seperti pakaian itu di tubuh
mereka. Peringatan telah datang satu persatu, namun manusia masih tahan
diri dan menutup telinga dari menerima yang benar.
Alasannya apa?
Nak cantik dan nak menarik
perhatian…kalau tak cantik nanti takde orang suka, tak ada orang nak
datang lamar. Macam tu ke fikiran kita?
Orang mukmin itu tidak akan tertarik pada pandangan nafsu.
Kerana dia bergantung sepenuhnya dalam doa sekian lama. Keturunanya
mahu di jaga. Makanya, jodohnya perlulah insan yang terjaga akhlaknya.
Sememangnya bukan semua yang menutup
aurat itu terjaga lisannya, terindah hatinya dan baik budi pekerti
kerana sememangnya terdapat segelintir yang kurang mengambil berat
mengenai pertuturan dan budi bahasa. Namun, sekurang-kurangnya dia
telah mematuhi arahan Allah untuk menutup aurat. Bukan mempersenda atau
meringankan suruhanNya. Nauzubillahiminzalik.
Apa alasan lagi untuk kita tidak menutup aurat?
Ok, mengikut peredaran zaman?
Ya Allah, Allah tak suruh kita
memodenkan diri sampai melanggar perintahNya. Mahu hina di mata manusia
yang kerdil yang sememangnya ciptaanNya jua, atau pun mahu hina
sehinanya di hadapan Pencipta kita?!
Manusia itu ke yang menentukan kita akan
ke neraka atau ke syurga? Mereka jua manusia yang akan dihitung amal di
mahkamah agung nanti. Nak tolong kita jauh sekali. Jadi apa alasan
kita nak mempedulikan semua suara-suara yang cuba menjatuhkan iman kita
itu. Malah kalau kita berjaya menepis setiap nafsu yang hadir, itulah kemenangan yang besar.
Cuba bayangkan jika Rasulullah s.a.w
melihat kita berpakaian sedemikian rupa. Apakah kamu fikir baginda akan
senyum atau berduka? Siapa yang layak memberikan syafaat untuk kita di
akhirat nanti kalau bukan baginda Rasulullah saw?
Jadi, kita cuba renungkan , kalau kita
telah mendukacitakannya, apakah mudah syafaat itu untuk sampai kepada
kita? Subhanallah, hanya Allah yang tahu. Tetapi, kita yang berhak
membaiki diri, mencari keredaanNya dan Rasulullah saw.
“Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [TMQ Al-Ahzab (33):59].
Berat sangat ke menutup aurat sampai ramai lebih memilih menunjukkan kecantikkan diri
yang sememangnya hanya pinjaman sementara itu? Berbaloikah pujian demi
pujian yang hinggap di bibir mereka yang kurang mengerti berbanding
dengan seksa yang akan dirasa di akhirat nanti. Panas api dunia pun
tiada yang mampu tahan, inikah pula hangat api yang menjulang berganda
pedihnya meragut tubuh tanpa kasihan.
Sedih! Dengan fesyen yang seolah
mempersenda agama. Apa yang agama larang itulah yang berlaku sekarang.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w.
bersabda:
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah aku lihat keduanya itu:
(l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam);
(2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)
Sengaja menampakkan sanggul yang meninggi di kepala? JANGAN LAKUKAN!
Rasulullah sudah melarang dengan jelas. Bukannya kamu cantik dengan sanggul tinggi yang menghias tudungmu.
Menutup auratlah dengan sempurna,
jangan sengaja mempersenda apa yang Allah telah gariskan. Hidup di
dunia ini hanya sebentar sahaja, barangkali seminit dua lagi kita akan
di jemput pulang ke sana. Mahu berbangga apakah dengan
perbuatan-perbuatan yang telah Allah larang. Hebat apakah kita hendak
menidakkan segala laranganNya?
Kembalilah pada Allah. Kita sememangnya makhluk yang sedang diuji dengan pelbagai keasyikan yang diluarannya indah tetapi hakikatnya salah. Telah Allah dan Rasulullah memberikan peringatan kerana sayangnya pada kita hambaNya. Namun, kita sendiri yang cuba melemparkan diri ke binasa.
Ya Allah, tuntunlah jiwa ini, jangan biar kelalaian terhadap dunia menutup mata hati kami memandang akhirat yang abadi.
No comments:
Post a Comment