Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan
ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari
(matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..”
disokong oleh ulama muktabar.
Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan
keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan
oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.
Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana
kualiti sanad yang diriwayatkannya.
Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan
nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah
al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab,
Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w
menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk
(mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi
kekuatan kepada mereka.
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila
tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di
bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w
tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada
Rejab dan Syaaban.
Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan
mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk
menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.
Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi
kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.
Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim
al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa
Rejab (pada bulan Rejab).
Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah
s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka
(terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.”
(Sahih Muslim)
Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id
bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab)
kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang
lain.
Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab,
tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana
kesunahan puasa terbabit.
Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud
direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab
adalah satu darinya.”
Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki
menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada
berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab
ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di
mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah
makanan.”
Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi :
“Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada
lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama
bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”
Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian
dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan
keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan,
mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan
Rejab.
Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh
lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.
Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan.
Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam
sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.
Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu
kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?
Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat,
puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di
bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang
benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.
Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan
kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah
sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.
No comments:
Post a Comment