Sunday, 21 October 2012

Sains Akui Kelebihan Solat Berjemaah.


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila engkau berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat beserta denganmu) sujud maka hendaklah mereka berpindah dari belakangmu (untuk menghadap musuh).(an-Nisa’: 102)

SOLAT berjemaah sangat dituntut dalam Islam sehinggakan ia diperintahkan walaupun berada di medan pertempuran untuk berperang. Ini sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat di atas yang turunkan kepada Rasulullah semasa baginda ingin menghadapi peperangan dengan orang kafir. Mungkin ramai yang masih meragui mengapa perlunya melaksanakan solat berjemaah sedangkan ia boleh dilakukan secara bersendiri di rumah atau di lokasi kita berada tanpa bersusah payah ke masjid ataupun surau.
Namun salah faham terhadap kemestian solat jemaah di surau dan masjid ini juga sebenarnya telah merumitkan untuk melaksanakan tuntutan tersebut sedangkan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun hanya dua orang.
Mengerjakan solat secara berjemaah seminggu sekali pada solat Jumaat atau solat sunat raya dianggap telah mencukupi oleh sesetengah umat Islam asakan tidak meninggalkan kewajipan dalam rukun Islam kelima itu sendiri di rumah.

Solat Berjemaah Kurang Mendapat Sambutan

Solat berjemaah sering diambil mudah dan semakin kurang mendapat sambutan. Antara sebabnya, kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kelebihan dan manfaat yang bakal diperoleh daripada menunaikan tuntutan Allah tersebut.
Kelebihan solat berjemaah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Solat berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang berseorangan dengan kelebihan 27 darjat. (riwayat al-Bukhari)
Sabda Rasulullah dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah melipat kali gandakan ganjaran kepada hambanya yang menunaikan solat berjemaah berbanding solat secara bersendirian walaupun ia tiada perbezaan dari segi perbuatan fizikal dan bacaan ketika solat.

Kajian Sains Tentang Solat Berjemaah.

Malah kelebihan serta manfaat solat berjemaah terbukti dari segi saintifik dan diakui oleh pakar sains fizik di sebuah universiti di Amerika Syarikat, Prof. John Herbert selepas membuat kajian mengenai tujuan dan kelebihan solat berjemaah.
Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Abdul Ghaffar Surip berkata, hasil kajian John Herbert mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga.
“Tubuh manusia terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. Setiap aktiviti harian kita tidak kira bekerja, beribadat atau berehat banyak menggunakan tenaga yang menyebabkan berlakunya pertukaran cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan cas tersebut di dalam tubuh.
“Ini menyebabkan tubuh berasa letih dan tidak bermaya. Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita iaitu dengan cara menunaikan solat berjemaah yang merangsang proses pertukaran cas elektrik dalam tubuh kita tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Mega pada majlis penyampaian Sijil Tinggi Pengajian Sains Dakwah di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Seramai 27 peserta terdiri daripada Saudara Muslim mengikuti kursus tersebut yang dijalankan dua minggu sekali selama tiga bulan.
Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.
Dr. Abdul Ghaffar berkata, tubuh manusia mengeluarkan cas yang berlebihan dan cas itu akan ditarik oleh cas yang berlawanan dalam tubuh badan jemaah di sebelah kanan dan kiri.
Begitu juga proses yang sama berlaku kepada setiap jemaah. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita.
Mengikut hasil kajian tersebut, proses pertukaran cas ini sangat diperlukan dalam kehidupan harian sebagaimana keperluan tidur pada setiap hari dengan sama.
Menurutnya, bilangan rakaat yang berlainan dalam setiap waktu solat adalah bertepatan dengan keperluan pertukaran cas elektrik positif dan negatif tersebut.
Solat subuh hanya dua rakaat kerana ia hanya memerlukan sedikit pertukaran cas dalam tubuh. Berlainan pula dengan solat Zuhur dan Asar yang memerlukan pertukaran cas yang banyak untuk menyeimbangkan cas dan mengembalikan tenaga dan kecergasan tubuh.
“Selepas waktu Asar pula, pada kebiasaannya kita hanya beriadah atau melakukan aktiviti ringan yang tidak terlalu banyak menggunakan tenaga di samping perbezaan masa yang diperuntukan tidak terlalu ketara.
“Oleh itu, solat berjemaah waktu Maghrib hanya sebanyak tiga rakaat mencukupi untuk menyeimbangkan cas dalam tubuh,” katanya.
Walaubagaimanapun, mungkin sesetengah daripada kita keliru mengenai bilangan solat Isyak yang banyak sedangkan ia tidak jauh berbeza dengan waktu solat Maghrib.
Dr. Ghaffar berkata, menurut kajian itu, pertukaran cas yang banyak perlu bagi menyediakan cas elektrik dalam tubuh yang benar-benar seimbang dan pengumpulan tenaga yang secukupnya untuk bangun pada sepertiga malam bagi menunaikan solat sunat seperti yang dituntut dalam Islam.
“Hasil kajian saintifik tersebut menunjukkan kepada kita betapa indah dan sempurnanya amalan agama Islam sehingga setiap kewajipan yang diperintahkan kepada kita mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri,” katanya.
Hasil kajian John Herbert itu membuka pintu hatinya dan mendapat hidayah Allah untuk memeluk agama Islam kerana tiada amalan agama lain yang selengkap dan sempurna sebagaimana ajaran Islam.
Info Via | utusan.com.my | Sains Akui Kelebihan Solat Berjemaah



Ada Apa Dengan Akhwat?


Sebelum baca entri ini, mari kita lihat maksud istilah ‘akhwat’
Akhwat adalah kalimah bahasa arab yang merujuk kepada kaum wanita, perempuan dan muslimat yg ramai. Pendek kata, akhwat itu adalah wanita.
Sudah setahun lebih saya berada di jalan ini. Sudah setahun lebih juga lah saya merasai pahit manis jalan ini. Antara kenangan manis mungkin bila bertemu mereka yang sama ghuraba (asing) dengan saya. Bila bertemu akhwat itu sendiri. Mengimbau kembali kenangan semasa daurah, ramai akhwat yang telah saya ketemu. Namun, akhwat itu di mana saja kita temui, mereka semua nya sama. Sama yang saya maksudkan di sini, bukannya mereka tiada keistimewaan masing-masing. Ah, senang cerita, akhwat itu sama seperti hadis di bawah
”Ciri-ciri Muslim itu, apabila dia melihat kamu, maka dia mendekat kepadamu, kemudian dia menyegerakan salam. Lalu kau lihat tampak pada wajahnya selalu tersenyum. Lalu, dia akan lebih awal menhulurkan tangannya untuk bersalaman. Kalau kau dekat dengan dia, kau mencium wanginya. Kalau kau bicara dengan dia perhatikan baik-baik, pasti dia mengajakmu selamat dunia akhirat. Mahu berbicara tentang apa saja, pada akhirnya mengajak kamu selamat di akhirat. Kalau berurusan dengannya, dia permudah. Itulah ciri-ciri peribadi Muslim.”
(Muttafaq ‘Alaih)
Ha! Itulah ciri-ciri akhwat yang saya maksudkan. Langsung tidak berkira dalam banyak hal. Mereka sangat suka menolong kerana mereka bukan lakukan kerana kita ni comeltapi mereka lakukan kerana Allah. Syahwat mereka adalah syurga. Tapi, saya perasan satu lagi sifat akhwat yang selalu saya temui. Mereka itu sangat pemalu. Pemalu di sini, bukannya mereka tidak bergaul dengan orang lain, juga bukannya bercakap perlahan seperti berbisik, malah bukannya malu tidak bertempat. Malu yang dimaksudkan adalah mereka ini sangat menjaga diri mereka. Mereka amat tahu batas-batas seorang akhwat. Mereka amat malu mendedahkan diri mereka walaupun menjadi penghias profile picturedi laman sosial. Itulah akhwat.
Hampir setiap hari saya layari laman facebook (kantoi). Namun, hampir setiap hari juga saya lihat gambar akhwat tersebar merata di-upload tanpa batasan. Saya tidak mengatakan upload gambar itu salah. Tapi, mungkin perlu slow down. Akhwat itu kan punyai sifat malu. Keindahan diri hanya untuk suaminya yang halal. Pendek kata, seperti bidadari syurga yang disebutkan dalam surah ar-Rahman
“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang membatasi pandangan (sopan dan pemalu) yang tidak pernah disentuh oleh manusia dan jin sebelumnya”
(ar-Rahman 55:56)
Akhwat itu malunya seperti bidadari syurga. Sebut saja bidadari mesti cantik. Malah, keindahan bidadari syurga tidak tergambar. Mungkin semua orang jeles nak jadi macam ainul mardhiah yang kecantikannya tersebar luas di kalangan perindu syurga. Tetapi ini bukan bermakna bidadari itu lebih baik dari akhwat di dunia, penghuni syurga kerana
“Sungguh tutup kepala salah seorang wanita surga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
(HR. Bukhari dan Muslim) 
Kesimpulannya, jika kita adalah dari kalangan penghuni syurga (amin..), kita lebih baik dari seorang bidadari!  Dan seorang penghuni syurga itu sudah tentu punyai malu. Nak jadi penghuni syurga tak? Saya nak!





Wednesday, 10 October 2012

Di Sebalik Liku-Liku..


Kerana aku di sapa ujian.  Aku belajar mengenal kehidupan.  Bahawasanya hidup bukan sahaja berteman suka dan bahagia.  Tetapi di corak hampa dan air mata.  Maka, aku mengenal erti sabar dan belajar tersenyum walaupun perit terus menerus menagih hiba.Ketika kehendakku tidak bisa di genggam.  Aku belajar menjadi insan matang.  Mensyukuri segala yang ditakdirkan.  Bukan merungut mencipta sesalan.  Kerana ku tahu bahawa segalanya tidak semudah apa yang ada dibayanganku.  Dunia hanya persinggahan yang sering menagih pengorbanan.Ku sedari aku bukanlah sempurna.  Aku belajar menjadi diri aku apa adanya.  Tidakku cemburu menatap kelebihannya dia.  Kerana ku yakini bahawa.  Allah itu menjadikan kita tidak sama.  Dan kita sememangnya memiliki kelebihan dan kekurangan yang tidak serupa.Kegagalan semalam telah menghancurkan impian.  Namun kerana kegagalan itulah aku mengikat suatu kesimpulan.  Bahawa tidak semua yang kita kehendakkan, akan berjaya berada di tangan.  Kegagalan itulah yang menjadi guru memberi pengajaran.Menyedarkan aku bahawa walaupun kita merancang,  Jangan pernah lupa bahawa Allah juga merancang.  Dan perancangan Allah sememangnya jauh lebih hebat dan penuh hikmah kebaikan di setiap kejadian.Kehilangan yang terjadi sememangnya menebuk lubang terdalam dihatiku.  Namun kerana kehilangan itu aku belajar sesuatu.  Bahawa setiap yang datang akan berlalu.  Tiada apa yang kekal di dunia ini kecuali Allah yang satu.  Lalu ku isikan pecahan-pecahan yang telah terjadi di hatiku.  Dengan cintanya Dia yang mengukuhkan kembali hatiku yang layu.


Wednesday, 26 September 2012

Aurat Saya… Saya Yang Berhak Lindungi



Sebak!
Itu kenyataan paling nyata yang boleh terungkap melihat muda mudi harapan bangsa dan agama tanpa malu dan segan silu mengenakan pakaian yang tidak seperti pakaian itu di tubuh mereka.  Peringatan telah datang satu persatu, namun manusia masih tahan diri dan menutup telinga dari menerima yang benar.
Alasannya apa?
Nak cantik dan nak menarik perhatian…kalau tak cantik nanti takde orang suka, tak ada orang nak datang lamar. Macam tu ke fikiran kita?
Orang mukmin itu tidak akan tertarik pada pandangan nafsu.  Kerana dia bergantung sepenuhnya dalam doa sekian lama.  Keturunanya mahu di jaga.  Makanya, jodohnya perlulah insan yang terjaga akhlaknya.
Sememangnya bukan semua yang menutup aurat itu terjaga lisannya, terindah hatinya dan baik budi pekerti kerana sememangnya terdapat segelintir yang kurang mengambil berat mengenai pertuturan dan budi bahasa. Namun, sekurang-kurangnya dia telah mematuhi arahan Allah untuk menutup aurat.  Bukan mempersenda atau meringankan suruhanNya.  Nauzubillahiminzalik.
Apa alasan lagi untuk kita tidak menutup aurat?
Ok, mengikut peredaran zaman?
Ya Allah, Allah tak suruh kita memodenkan diri sampai melanggar perintahNya.  Mahu hina di mata manusia yang kerdil yang sememangnya ciptaanNya jua, atau pun mahu hina sehinanya di hadapan Pencipta kita?!
Manusia itu ke yang menentukan kita akan ke neraka atau ke syurga? Mereka jua manusia yang akan dihitung amal di mahkamah agung nanti.  Nak tolong kita jauh sekali.  Jadi apa alasan kita nak mempedulikan semua suara-suara yang cuba menjatuhkan iman kita itu.  Malah kalau kita berjaya menepis setiap nafsu yang hadir, itulah kemenangan yang besar.
Cuba bayangkan jika Rasulullah s.a.w melihat kita berpakaian sedemikian rupa.  Apakah kamu fikir baginda akan senyum atau berduka?  Siapa yang layak memberikan syafaat untuk kita di akhirat nanti kalau bukan baginda Rasulullah saw?
Jadi, kita cuba renungkan , kalau kita telah mendukacitakannya, apakah mudah syafaat itu untuk sampai kepada kita? Subhanallah, hanya Allah yang tahu.  Tetapi, kita yang berhak membaiki diri, mencari keredaanNya dan Rasulullah saw.
“Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [TMQ Al-Ahzab (33):59]. 
Berat sangat ke menutup aurat sampai ramai lebih memilih menunjukkan kecantikkan diri yang sememangnya hanya pinjaman sementara itu? Berbaloikah pujian demi pujian yang hinggap di bibir mereka yang kurang mengerti berbanding dengan seksa yang akan dirasa di akhirat nanti.  Panas api dunia pun tiada yang mampu tahan, inikah pula hangat api yang menjulang berganda pedihnya meragut tubuh tanpa kasihan.
Sedih!  Dengan fesyen yang seolah mempersenda agama.  Apa yang agama larang itulah yang berlaku sekarang.  Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah aku lihat keduanya itu:
(l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam);
 (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)
Sengaja menampakkan sanggul yang meninggi di kepala? JANGAN LAKUKAN!
Rasulullah sudah melarang dengan jelas.  Bukannya kamu cantik dengan sanggul tinggi yang menghias tudungmu.
Menutup auratlah dengan sempurna, jangan sengaja mempersenda apa yang Allah telah gariskan.   Hidup di dunia ini hanya sebentar sahaja, barangkali seminit dua lagi kita akan di jemput pulang ke sana.  Mahu berbangga apakah dengan perbuatan-perbuatan yang telah Allah larang. Hebat apakah kita hendak menidakkan segala laranganNya?
Kembalilah pada Allah.  Kita sememangnya makhluk yang sedang diuji dengan pelbagai keasyikan yang diluarannya indah tetapi hakikatnya salah.  Telah Allah dan Rasulullah memberikan peringatan kerana sayangnya pada kita hambaNya.  Namun, kita sendiri yang cuba melemparkan diri ke binasa.
Ya Allah, tuntunlah jiwa ini, jangan biar kelalaian terhadap dunia menutup mata hati kami memandang akhirat yang abadi.


Bukan tidak boleh bercinta, tapi…




Adik : Erm.. abang, boleh adik tanya sedikit?
Abang : Boleh. Silakan…
Adik : Adik sudah habis SPM, dan adik ada seorang kenalan perempuan.
Abang : Oh, jadi?
Adik : Jadi… erm, sebenarnya adik ada menaruh harapan padanya. Kami sudah kenal hampir dua bulan dan dia sangat rapat dengan adik. Bolehkan abang jika kami bercinta atas suka sama suka. Tiada paksaan  Dan adik mahu hidup berteman seperti rakan – rakan yang lain.
Abang : Boleh abang bertanya?
Adik : Silakan…
Abang : Kenapa perlu bercinta?
Adik : Sebab itu sebahagian daripada sifat manusia. Dan manusia memang perlukannya. Betul?
Abang : Betul. Tapi bagaimanakah dengan persiapan adik terhadap cinta kepada Allah swt dan Rasulullah saw?

Kami terdiam dan soalan tidak berbalas dengan jawapan. Jawapan tidak diberi, tidak mengapa. Apa yang pasti, pemahaman erti kehidupan perlu di sapa. Biar sedikit, itulah titian – titian menuju ke bukit. ‘Broga Hills’ mungkin~
Cinta itu sifatnya fitrah. Tidak boleh buang seperti sampah. Tetapi, silapnya cinta dipandang ‘enteng’ bagai sampah. Bila ditanya berkenaan cinta, bulat – bulat kita kaitkan dengan asmara.
Asmaradana atau asmaramerana?
Bagi yang sedang menjalinkan cinta dengan ikatan ‘tidak SAH’ seharusnya perlu ditanya terlebih dahulu bagaimanakah dengan persiapan cinta kita terhadap Allah swt dan Rasulullah saw? Kerana Allah swt dan Rasulullah saw adalah yang pertama dan utama.
Imam Syafi’ berkata, “Bukankah kita sudah ikrarkannya (syahadah)?”
Sedarkah kita bahawa, lafaz syahadah adalah lafaz cinta. Tandanya ialah, kita telah menyerahkan diri sepenuhnya pada Allah dan Rasulullah. Kita akan berkorban apa sahaja demi Allah dan Rasulullah.
Bukan tidak boleh bercinta, tapi….
Bukan tidak boleh bercinta, tapi… semak dahulu diri kita. Jika asyik bercinta sehingga mengetepikan Allah dan Rasulullah. Adakah itu dinamakan cinta?
Jika asyik bercinta sehingga mengetepikan pula keluarga. Adakah itu dinamakan cinta?
Jika asyik bercinta sehingga mengetepikan pula amal ibadah. Adakah itu dinamakan cinta?
Mari, muhasabah diri. Agar nanti, diri tidak kecundang seperti ‘gagak yang melepaskan tahi’. Mari perbaiki diri, kerana cinta bersifat suci.
‘Aku bercinta, tetapi solat, aurat aku memperlekehkannya.’
‘Aku bercinta, tetapi berkenaan keluarga aku tidak ambil peduli. Hati ayah dan ibu, sering aku sakiti.’
‘Yaa Allah, satukanlah kami. Jangan ada sesiapa yang menganggu kebahagiaan kami.’
‘Rinduku seperti oksigen yang dirimu sedut selalu.’
Ada yang percaya dengan adanya usaha dan doa, Tuhan pasti akan terima. Tetapi, ada juga yang tidak yakin dengan tuntutan – tuntutan Islam. Contohnya, Allah swt menyatakan bahawa solat itu akan mencegah kita daripada melakukan perkara yang mungkar. Tetapi, kita buka minda sahaja. Sebaliknya hati dibiarkan tertutup. Selain itu, Nabi Muhammad saw telah berpesan supaya kita berpuasa. Tetapi, kita berpuasa kerana lapar dan dahaga sahaja.
Bagi yang ingin menjalinkan ikatan cinta secara ‘tidak SAH’, umpakan hubungan cinta yang ‘tidak SAH’ itu seperti syubhat. Syubhat itu yang akan menimbulkan keraguan dan akan mengheret kita ke lereng – lereng neraka. Jadi, jaga – jaga!
Akhir kata, nasihat ini bukan untuk membangga diri. Tetapi untuk bermuhasabah diri. Hidup di dunia ini perlu hati – hati, tidak boleh ‘semberono’ mengikut kehendak diri. Jika mampu merasa nikmat cinta dunia, tetapi tidak mampu merasa nikmat cinta Allah dan Rasul-Nya, pasti ada silapnya.
Selamat berbahagia.
Artikel ini adalah kiriman ke inbox kami oleh Mohamad Nasiruddin Bin Amir (mnasiruddinbamir.blogspot.com). Semoga  memberi manfaat kepada semua. Syukran :)




Tuesday, 25 September 2012

Hakikat Cinta Seorang Pencinta


Meningkat umur diperjalanan ini, semakin dewasa pemikiran dan perasaan.  Sungguh, kehadiran cinta menggetarkan jiwa dan rasa.  Tanpa perlu belajar, tidak perlu merujuk nota…hadirnya tidak di undang, tetap melawat dan mendiam di hati insan. 
Manusia sering menyebut tentang cinta pada hamba-hambaNya.  Ternyata kita sering lupa hakikat cinta sebenar hanya untukNya.  Rindu dan kasih sayang anugerahNya untuk kita belajar mencintaNya melebihi segalanya.  Allah tidak pernah melarang hambaNya berkasih sayang. Justeru, rasa cinta itu sendiri adalah takdirNya.
Maha Mengetahuinya Dia akan hati hambaNya.  Setiap jiwa memiliki perasaan untuk dicintai dan mencinta, maka Dia menyediakan jalan yang terbaik untuk hambaNya.  Berkahwinlah keranaNya,  mencintailah keranaNya, bertemu dan berpisah jua keranaNya,hanya untukNya.  Terlalu sayangnya Dia pada hambaNya, sentiasa memberikan kita jalan yg terindah.  Dia mengetahui fitrah yang membalut setiap manusia.  Namun, berapa ramai yg menghayati anugerahNya. Cinta nafsu yang memerangkap jiwa remaja, padahal telah Allah memberikan peringatan demi peringatan, namun teruna dan dara terus terbelit dan terkandas dalam cinta yang dianggap indah namun rupanya bersulam nafsu semata-mata. 
“ Cinta yang membuah ranum di dasar hati,
Menciptakan kemanisan pada jiwa setiap insan yang merasa,
Namun tanpa baja..tanpa dijaga,
Akar yang kukuh juga bisa rapuh,
Andai batang yang tebal jua menyembah bumi,
Manakan ranting dan dahan ingin berpaut,
Andaikan bunga yang indah berguguran sblm kembang,
Manakan buah hendak masak memerah”
Bagitulah halnya tentang cinta ini, andai perasaan yang terpendam diresipikan nafsu bukannya iman, rosaklah perasaan, tumbuhnya sekadar mngundang serangga perosak.  Buahnya meranum namun rasanya pahit.  Akhirnya dibiar mati tidak dipeduli.
Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari
Jangan menghantar hatimu menuju kehancuran, kerana terlalu cintakan dunia dan manusia, akan memakan jiwa.  Manakan bisa seorang hamba mengharap pada hamba yang lain, sedangkan hamba yang lain jua mengharap pada Pencipta yang satu.  Sekeping hati yang dimiliki setiap jasad ini boleh berubah bila-bila masa sahaja kehendak dan kemahuannya.  Sungguh rapuh. 
Hari ini berbicara cinta, hari esok tiada rasa. Hari ini, berjanji setia..hari esok  tiada suara.  Hari ini dia milikmu, hari ini esok belum tentu.  Siapa kita untuk mengatur sekeping hati, mengatur jalan kaki sendiri ke arah yang benar pun ramai yang tidak pasti. 
Semua orang ingin dicintai, tambahan pula bila dicintai oleh insan yang mereka cintai.  Apabila cinta tidak kesampaian, ramai yang merajuk hati hingga ada insan yang lebih memilih mati hanya kerana disingkir cinta.  Alangkah ruginya titisan air mata dilepaskan untuk cinta manusia yang hidupnya hanya sementara. 
Sedangkan tidak ramai yang sanggup bergenang air mata menghayati anugerah Dia.  Tidak banyak pula yang mensyukuri nikmatNya. Berapa ramai yang sedar bahawa takdirnya adalah terbaik untuk setiap hambaNya.  Percayalah bahawasanya Dia lebih mengenali hati hambaNya.  Masakan Allah yang maha Penyayang bersikap zalim.  Dia maha mengetahui segala sesuatu baik yang nyata mahupun tersembunyi.
“ Mencintai tidak bererti memiliki..
Siapa berhak melunakkan skeping hati selain Dia,
Mencintai seseorang bermakna kamu perlu bersedia menerima,
Segala kesudahan rasa,
Mencintailah keranaNya dan kamu akan merasai lazatnya cinta,
Tiada jiwa terluka..tiada hati tersiksa,
Kerana insan percaya, takdirNya terindah dari segala peristiwa,
Kerana kita percaya, Dia menentukan segalanya.
Jodohnya manusia ada ditangannya.
Saudaraku tercinta,
Andai kehendak hati terhenti,
Percayalah, Dia sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik lagi,
Cinta yang membuatkan mu tidak lena,
Menjadikan harimu terganggu setiap masa,
Bukannya itu cinta yang diharapkan,
Itu hanya perasaan yang hanya mengundang tekanan,
Cinta sesungguhnya apabila kamu mencinta keranaNya,
Redha dengan takdirNya,
Menerima suratan dengan siapa kamu dipertemukan,
Mensyukuri pertemuan jodohmu walau bukan dengan insan idaman,
Asalkan si dia mencintai Tuhan,
Kita kan terus mencintainya tanpa alasan.
Mengapa dicari secantik Balqis, andai diri tidak sehebat Sulaiman..Mengapa mengharap teman setampan Yusof jika kasih tidak setulus Zulaikha..Mengapa mengharap teman seteguh Ibrahim andai diri tidak sehebat Siti Hajar..Mengapa didambakan teman sehidup yang sempurna Muhammad jika ada keburukan pada diri sendiri..Bimbinglah dirinya dan terimalah kekurangan itu sebagai keunikan..Carilah kebaikan itu pada dirinya. Bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya dan berdoalah dia milikmu…
“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi ) 
Saudaraku tersayang,
Orang yang wujud dihatinya akan suatu rasa mencintai Allah melebihi segala apa yang ada di langit dan dibumi, nescaya tiada duka buatnya.  Allah akan memenuhi rindu dihatinya, tiada lagi rindunya buat duniawi yang akan binasa.  Seseorang pecinta akan selalu berfikir dan menyebut insan yang dicintai, ibaratnya tak mati di hati, tak lekang di bibir.  Demikian jualah cinta untuk Illahi, persiapkan lisan untuk selalu menyebut indah namaNya, sediakan hati untuk selalu mengingatiNya, dan jadilah insan yang paling bahagia dalam redaNya.
Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.” (Sahih Bukhari)
Amin.



Nilai Solat Berjemaah di sisi Salafus Soleh





Di dalam kitab المنح السنية على الوصية المبتولية, karangan al-Qutub al Sya'rani menyatakan bahawa mereka yang hidup pada sepanjang tiga kurun pertama yang dikenali sebagai Salafus Soleh beranggapan bahawa terlepas daripada menunaikan solat fardhu secara berjemaah adalah suatu musibah suatu bala daripada Allah SWT.

Pernah suatu ketika, ada seorang lelaki pergi ke kebun kurmanya. Apabila dia pulang, didapatinya orang ramai sudah pun selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah. Dalam keadaan sedemikian, dia lantas menyebutkan "ان لله وانا اليه راجعون, aku telah terlepas solat berjemaah. Bersaksikan kamu semua, dengan ini aku mengisytiharkan sesungguhnya kebun kurmaku itu, aku sedekahkan kepada fakir miskin".


Dalam satu riwayat disebutkan bahawa suatu ketika Abdullah bin Umar RA telah terlepas daripada melaksanakan solat Isyak berjemaah. Dengan sebab itu, dia telah mengulangi solat Isyak sepanjang malam sehingga terbit fajar. Tujuannya ialah untuk menampung kekurangan pahala yang berlaku kerana ketinggalan solat berjemaah tadi.


Begitu juga kisah yang diriwayatkan mengenai Abdullah bin Umar al-Qawariri, katanya: "Aku tidak pernah tertinggal solat fardhu berjemaah sehinggalah pada suatu malam aku telah didatangi tetamu. Dengan sebab sibuk melayan mereka, maka aku telah terlepas daripada menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid. Namun begitu aku pergi juga ke masjid dengan niat untuk solat berjemaah, tetapi setibanya aku di sana, aku dapati masjid sudah pun berkunci, Justeru itu, aku pulanglah ke rumah dengan perasaan penuh kecewa. Hatiku berbisik: Rasulullah ada bersabda: "Sesungguhnya solat berjemaah kelebihannya mengatasi solat bersendirian sebanyak 27 darjat".


Oleh itu, aku pun melakukan solat Isyak pada malam itu sebanyak 27 kali dan selepas itu aku pun tidur. Di dalam tidur aku bermimpi melihat aku sedang menunggang kuda bersama-sama orang kampungku. Tetapi yang peliknya mereka berada di hadapanku dan aku pula berada di belakang mereka. Aku telah memacu kudaku selaju-lajunya. Puas aku melakukannya tetapi aku tidak dapat mengejar mereka.


Tiba-tiba salah seorang daripada mereka berpaling ke arahku sambil berkata: "Engkau hanya memenatkan kudamu sahaja! Engkau tidak akan dapat mengejar kami". Lantas aku bertanya kepadanya: "Mengapa?" Jawabnya : "Kerana malam tadi kami solat Isyak secara berjemaah, sedangkan engkau hanya melakukannya bersendirian. Selepas dialog itu aku pun terus terjaga dari tidurku dengan perasaan penuh kesedihan.


Sebahagian ulama' Salaf berpendapat bahawa seseorang itu tidak akan terlepas dan tertinggal daripada solat berjemaah melainkan kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya. Pada umumnya masyarakat di zaman itu berpandangan bahawa solat berjemaah adalah suatu ibadah yang sangat penting dalam kehidupan mereka. Jika ada di antara mereka yang terlepas solat fardhu berjemaah satu waktu sahaja, maka seluruh anggota masyarat yang lain akan mengucapkan takziah berlanjutan selama seminggu. Ada riwayat yang menyebutkan walaupun hanya terlewat satu rakaat sahaja.


Begitu juga, mereka akan mengucapkan takziah selama tiga hari kepada sesiapa yang terlewat dan tidak mendapat Takbiratul Uula bersama-sama imam.


Melihat kepada catatan di atas, marilah kita semua cuba menghayati kepentingan solat berjemaah untuk kebahagian hidup di dunia dan akhirat! InsyaAllah.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...